~

Jumaat, 15 April 2011

Home » , , , , » PILIHAN RAYA UMUM KE-10 DEWAN UNDANGAN NEGERI SARAWAK

PILIHAN RAYA UMUM KE-10 DEWAN UNDANGAN NEGERI SARAWAK

1. Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak  pada 21 Mac 2011  berhubung dengan pembubaran Dewan  Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

2.  Menurut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, SPR perlu mengadakan pilihan raya di  dalam tempoh enam puluh (60) hari daripada tarikh pembubaran DUN  Sarawak.

3. Bagi tujuan menjalankan  pilihan raya umum ke-10 DUN Sarawak ini,  SPR berdasarkan   kepada mesyuarat yang diadakan  pada hari ini  telah memutuskan untuk  melantik  71  Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan 165 Penolong Pegawai Pengurus bagi membantu SPR menjalankan  pilihan raya itu.  Bagi tujuan
memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen,  SPR  telah memutuskan untuk menubuhkan  80 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) dan diketuai oleh seorang pegawai penguat kuasa bagi  setiap pasukan.

4. Bagi menjalankan pilihan raya umum ke-10 DUN Sarawak ini,  SPR akan  menggunakan 1,749 Pusat Mengundi yang mengandungi kesemuanya  2,606 Tempat Mengundi (Saluran).  Seramai 24,379 orang pegawai dan petugas pilihan raya akan dilantik untuk membantu SPR mengendalikan  pilihan raya ini. Dianggarkan belanjawan sebanyak RM50 juta  akan digunakan untuk menjalankan pilihan raya ini.

5. Daftar Pemilih yang akan digunakan bagi pilihan raya ini ialah  Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009, Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun  Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010, Suku Tahun Ketiga 2010 dan Suku Tahun Keempat 2010  yang diwartakan pada 25 Mac 2011. Daftar Pemilih itu mengandungi 979,796 pemilih berdaftar yang terdiri daripada  961,433 pemilih biasa dan  18,363 pemilih pos.

6.  Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi pilihan raya itu akan mula dijual pada   28 Mac 2011. Para pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi  mereka melalui laman web SPR  (www.spr.gov.my) atau melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip  SPR   SEMAK    NO. KAD PENGENALAN  dan hantar kepada 15888  mulai  28 Mac 2011. Para pengundi juga boleh menelefon  Ibu Pejabat  SPR di Putrajaya (03-8885 6500)   dan  Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak 082-254 867.                         

7.  Dengan ini diumumkan bahawa  tarikh-tarikh penting bagi menjalankan pilihan raya umum  ke-10  DUN Sarawak, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh seperti yang berikut:

Tarikh Keluar  Writ          :  23 Mac 2011 (RABU)
Tarikh Notis Pilihan Raya         :  25  Mac 2011 (JUMAAT)
Tarikh Penamaan Calon :  06 April 2011 (RABU)
Tarikh Pengundian 
(Jika ada pertandingan) :  16 April 2011 (SABTU)

8. Bagi memastikan proses pelaksanaan pilihan raya umum ke-10 DUN Sarawak ini berjalan lancar, SPR memohon agar semua pihak mematuhi segala arahan pihak polis yang bertanggungjawab  untuk memastikan ketenteraman awam semasa pilihan raya itu.  Parti-parti politik, calon-calon, petugas-petugas dan  para penyokong parti  serta  mana-mana individu lain  yang akan terlibat  semasa berkempen hendaklah mematuhi  undang-undang dan  peraturan-peraturan  pilihan raya serta  tatasusila berkempen sebagaimana yang ditetapkan oleh SPR.

9. SPR juga ingin mengingatkan  kepada calon-calon dan parti-parti yang bertanding mengenai kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5). Bahagian III Akta 5   menyenaraikan segala perbuatan rasuah yang jika seseorang  itu disabitkan  dengan kesalahan itu dia boleh dikenakan hukuman penjara dan denda. Kesalahan di bawah  Bahagian III Akta 5 ini  merupakan “kesalahan yang ditetapkan” di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah  Malaysia (SPRM) yang mempunyai kuasa untuk menyiasat, mengikut peruntukan undang-undang, mana-mana orang yang melanggar mana-mana  seksyen di bawah Bahagian III Akta  5. Sepanjang tempoh pilihan raya umum  ke-10 DUN Sarawak ini, SPRM akan memantau apa-apa aktiviti  bagi memastikan mana-mana orang yang melanggar Akta 5  akan disiasat dan didakwa.

10. SPR juga ingin mengingatkan  bahawa pada hari pengundian,  tiap-tiap majikan dikehendaki memperuntukkan tempoh yang munasabah kepada pekerja-pekerjanya kebenaran untuk keluar
mengundi. Subseksyen 25 (1) Akta  Kesalahan Pilihan Raya 1954  memperuntukkan seperti yang berikut:

“25. (1) Tiap-tiap majikan hendaklah, pada hari mengundi membenarkan suatu tempoh yang munasabah bagi tiap-tiap pemilih yang bekerja dengannya mengundi, dan tiada majikan boleh membuat apa-apa potongan daripada gaji atau saraan lain mana-mana pemilih itu atau mengenakan ke atasnya atau menuntut daripadanya apa-apa penalti oleh sebab dia  tidak hadir bekerja dalam tempoh itu.” .

11. Mana-mana majikan yang secara langsung atau tidak langsung enggan membenarkan pekerjanya keluar mengundi  boleh, apabila disabitkan,  didenda  sebanyak lima ribu ringgit atau satu tahun   5penjara sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subsekyen 25(3)  Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

12. Maklumat-maklumat lain berhubung dengan pilihan raya umum ke-10 DUN Sarawak ini akan dikeluarkan  dari semasa ke semasa oleh Ibu Pejabat SPR atau Pengarah Pilihan Raya Negeri Sarawak atau Pegawai-pegawai Pengurus Pilihan Raya berkenaan.

Sekian dan terima kasih.

(TAN SRI DATO’ SERI ABDUL AZIZ BIN MOHD YUSOF)
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
23 Mac 2011


Sumber: http://www.spr.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan