UMAT manusia secara am dan umat Islam secara khusus diperintah supaya memakan hanya yang halal. Firman Allah (Surah Al-Baqarah ayat 168) bermaksud: “Wahai manusia makanlah daripada apa yang Kami berikan di muka bumi ini yang halal lagi bermutu dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata.” Jelas, kepentingan makanan yang halal telah disebut oleh Allah di dalam Al-Quran lebih 1400 tahun yang lampau menunjukkan betapa pentingnya konsep pemakanan halal yang sempurna. Malah mengikut ayat 88 surah al-Maidah, Allah menegaskan bahawa makan dan minum adalah tanda keimanan seseorang. Ini bermaksud cara pemilihan makanan dan minuman itu membuktikan nilai iman seseorang.
Namun, kita sebagai masyarakat Islam yang berkongsi sebuah negara dengan masyarakat bukan Islam yang lain perlu lebih prihatin dan mampu memilih makanan yang halal mengikut syarak. Masyarakat bukan Islam di Malaysia perlu dijelaskan dengan lebih mendalam tentang konsep halal-haram makanan mengikut perspektif Islam yang sebenarnya. Kita perlu mengubah tanggapan mereka bahawa makanan yang halal bukan makanan daripada babi sahaja tetapi juga meliputi pelbagai konsep lain yang perlu dijelaskan dengan lebih mendalam. Antara konsep yang perlu diambil perhatian adalah:
- Punca makanan tersebut iaitu seperti daging yang digunakan. Kebanyakan masyarakat bukan Islam menganggap hanya khinzir makanan yang haram dalam Islam tetapi mereka perlu dijelaskan tentang konsep binatang yang haram dimakan dalam Islam seperti binatang yang bertaring serta binatang yang hidup dua alam dan binatang yang jijik seperti cicak dan sebagainya.
