~

Isnin, 11 Oktober 2010

Home » , , , » Kemalangan Ngeri 10.10.2010

Kemalangan Ngeri 10.10.2010

Tarikh,bulan dan tahun memainkan peranan dalam mencatat sesuatu peristiwa samaada peristiwa manis atau sedih atau pilu yang kadang-kadang memberi impak yang besar kepada mereka yang melalui.Tanggal 10.10.2010 tercipta satu lagi peristiwa berdarah  yang merangut nyawa yang telah berlaku, dimana kemalangan ngeri yang melibatkan dua buah Bas, dua buah kereta dan sebuah van terbabit dalam kemalangan di Kilometer 223, Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat dekat Rembau.Ikuti berita dari utusan Malaysia Online dengan tajuk 12 maut tragedi lebuh raya.


12 maut tragedi lebuh raya
Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL, FARABI SYED SHEIKH AL-JABRI, RIZANIZAM HAMID dan NORAZLIZA ISMAIL
pengarang@utusan.com.my
SEREMBAN 10 Okt. – Seramai 12 orang maut, manakala lebih 40 lagi cedera termasuk parah apabila dua buah bas, dua buah kereta dan sebuah van terbabit dalam kemalangan di Kilometer 223, Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang ini.

Nahas berlaku apabila sebuah bas ekspres Delima yang dipercayai dipandu laju dari arah selatan gagal dikawal lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.

Bas ekspres itu yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur kemudian melanggar sebuah van dan kereta sebelum menghempap dua buah kereta lain dalam kejadian pada 6.50 petang itu.

Pada masa yang sama, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dinaiki ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) turut gagal mengelak dan melanggar bas ekspres itu.

Tragedi Oktober itu mengakibatkan puluhan ribu kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sehingga lewat malam ini apabila pihak berkuasa terpaksa menutup laluan di kedua-dua arah untuk kerja-kerja menyelamat.

Sehingga pukul 11 malam ini, pasukan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa termasuk penumpang bas dan kenderaan yang dihempap oleh bas itu.

Difahamkan, mangsa yang maut adalah pemandu bas dan penumpang serta penumpang dua buah kereta yang terhimpit dihempap bas tersebut.

Pengarah Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, Dr. Jaafar Che Mat pada sidang akhbar lewat malam ini memaklumkan, pihaknya menerima 24 orang mangsa yang cedera terdiri daripada lapan lelaki dan 16 wanita, kesemuanya dewasa.

Katanya, seorang daripada mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Menurut beliau, kesemua mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, manakala mereka yang cedera menerima rawatan di HTJ.

Antara yang dilihat menerima rawatan termasuk seorang pelancong warga Jepun.

Berikutan kemalangan itu, pihak polis telah menutup laluan masuk ke lebuh raya arah selatan di Plaza Tol Pedas, Linggi di Rembau.

Kebanyakan kenderaan yang memasuki lebuh raya dinasihatkan oleh Plus Expressways Berhad (PLUS) untuk menggunakan laluan alternatif.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi malam ini mengesahkan kejadian tersebut dan menurutnya, ketika ini, identiti mangsa yang cedera dan meninggal dunia masih belum diketahui.

Operasi menyelamat masih dijalankan oleh pasukan bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta bantuan pihak paramedik dari hospital yang berdekatan.

Dalam pada itu, salah seorang penumpang bas Ekspres Delima yang terselamat, Nur Najlaa Aqilah Mohd. Ghazali, 19, berkata, dia tiba-tiba terasa bas yang dinaikinya berpusing lalu menghempap sebuah kereta selepas melambung ke laluan bertentangan.

“Ketika kejadian, saya sedang tidur. Saya tersedar apabila bas itu berpusing dan menghempap kenderaan di laluan bertentangan. Tidak lama kemudian, bas yang kami naiki dirempuh beberapa kenderaan lain termasuk sebuah bas (membawa ahli PBTM),” kata pelajar Universiti Malaya itu yang kini dirawat di HTJ setelah mengalami kecederaan di tangan dan muka.

Difahamkan, bas JKM membawa peserta yang menghadiri Perhimpunan Raksasa PBTM, turut dinaiki Exco Kerajaan Melaka, Datuk Karim Sulaiman. Bagaimanapun, kesemua penumpang bas itu dilaporkan selamat.

P/S: Kemalangan bukan sahaja melibatkan kehilangan nyawa,kesakitan jiwa, malah kerajaan terpaksa membelanjakan berjuta-juta setiap tahun untuk membaiki dan membaik pulih tempat kemalangan yang berlaku, yang mana wang berkenaan boleh di salurkan kepada mereka yang memerlukan.selain itu juga kejadian seumpama ini memberi masalah kepada penguna jalanraya kerana kesesakan yang teruk akan berlaku..

P/S: Penulis dengan ini memberi sedekah kepada mangsa-mangsa Al-fatihah kepada mereka yang beragama islam,

4 ulasan:

  1. Al Fatihah kepada semua mangsa beragama Islam dan moga kita mengambil iktibar dari semua ini..

    BalasPadam
  2. banyak cadangan dan idea-idea bernas yang timbul apabila berlaku kemalangan yang melibatkan ramai orang tapi selalunya semangat hangat-hangat tahi ayam tanpa perlaksanaan, adakah ini idea bermusim!

    BalasPadam
  3. Alfatihah untuk semua yang beragama islam. Kepada pasukan penyelamat, terutama BOMBA dan lain-lain agensi seperti JPAM, HOSPITAL, PLUS, POLIS, ORANG AWAM termasuk yang terlibat secara langsung, hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat membalasnya atas keringat yang telah dicurahkan...

    BalasPadam
  4. Kepada semua pengguna jalanraya tidak kira persekutuan ke, lebuhraya bertol ke, jalan bandaran ke, atau mana-mana jalan yang ada laluan kecemasan yang sudah semestinya dikhaskan untuk kenderaan kecemasan lalu, tuan-tuan dan puan-puan pengguna laluan tersebut mestilah ingat, Lain kali, sekiranya ada sebarang kemalangan jalanraya. Ingatlah kepada semua pengguna jalanraya, jangan kerana anda menggunakan LALUAN KECEMASAN yang menyebabkan Jalan sesak dan menyebabkab pasukan penyelamat lambat tiba dan menyebabkan mangsa yang terlibat lambat diselamatkan, maka bertambah angka korban akibat kita yang mengguna laluan kecemasan tersebut.... ingatlah. Cuba anda yang membaca mesej ini, adakah anda juga terperangkap dalam kesesakan tersebut? adakah anda telah memasuki laluan kecemasan kononnya untuk cepat sampai.... perasan tak anda, disebabkan anda menggunakan laluan tersebut, pasukan penyelamat lambat sampai..... ingat..... kerana kita, angka telah bertambah....

    BalasPadam